Kali ini saya nak berkongsi berkaitan perubahan corak perniagaan dan pembelian secara online sejak tahun 2007 sehinggalah sekarang berdasarkan pemerhatian peribadi saya.
Penting untuk kita tahu supaya kita dapat sentiasa buat persiapan awal untuk menyesuaikan diri dengan perubahan semasa.
fasa-fasa perubahan
1. BLOGGING

Dulu sekitar tahun 2007, tak ramai yang berniaga secara online. Facebook, IG, Shopee & Tiktok masih tak wujud lagi.
Masa tue zaman kegemilangan Blog, Friendster dan MySpace.
Ramai yang menulis blog. Ianya menjadi platform untuk berkongsi dan berinteraksi dengan ‘audience’ secara online. Ramailah blogger-blogger muncul, antara yang saya masih ingat, Redmummy, Akmaomar, Yuyu Zulaikha, Cik Epal, Ben Ashaari, Beautifulnara, iluveislam dan banyak lagi. Memang meriah.
Dan saya pun tak ketinggalan juga. Saya gunakan blog saya untuk berniaga. Saya menjual barangan golf terpakai. Alhamdulillah, dari situ saya mula belajar berniaga secara online.
Banyak bloggers juga sediakan tapak pengiklanan untuk kita letakan banner produk kita di blog mereka. Siapa masih ingat kepada Nuffnang?
Zaman tue, perniagaan online masih belum rancak dan kurang persaingan terutama dari segi harga. Sebab bukan semua orang pandai ber-blogging. Dan blogging nie pun perlukan usaha juga, kena maintain penulisan secara berkala untuk cari dan kekalkan pengikut.
2. SOCIAL MEDIA & E-COMMERCE

Kemudian sekitar tahun 2010, social media seperti Facebook mula rancak. Ramai orang termasuk saya juga mula menjual di Facebook.
Ditambah juga dengan munculnya online selling platform yang lebih khusus menjual berbanding blog iaitu ‘e-Commerce’. Web yang memudahkan pelanggan membuat tempahan.
Zaman tersebut boleh dikatakan agak mudah untuk mendapatkan jualan sebab masa tue mungkin persaingan masih kurang sengit dan sukar pelanggan nak buat ‘price comparison’ antara penjual lain. Jadi apa produk yang kita jual, sangat mudah terjual.
Kasukaran untuk buat perbandingan harga membuatkan persaingan ketika itu tidak begitu sengit dan semua penjual mudah meletakan harga yang boleh buat keuntungan yang berbaloi.
Muncul banyak brand-brand besar menjual tudung dan baju secara online. Antara yang masih saya ingat adalah JalitaSara, Elle Zada, Dyana, Al Humaira Contemporary, SugarScarf, Tudung People dan sebagainya. Ada yang masih ingat dengan brand Fareeda? Billboard dia sebesar-besar alam kat tepi-tepi jalan.
Saya juga masih ingat, beribu-ribu Personal Massage (PM) dari Facebook yang saya terima setiap hari, tak putus-putus dari pelanggan yang nak membeli tudung sekolah TudungSiComel. Sehinggakan terpaksa mengagih-agihkan pelanggan yang PM kepada ejen-ejen TudungSiComel untuk mereka bantu ‘closing sale’.
Zaman dulu, pembekal dan pengilang tiada pilihan dan masih terpaksa membekalkan kepada pemborong brand-brand besar untuk mereka survive.
Mereka tidak ada keupayaan menjual secara terus sebab ianya memerlukan ilmu dan skil untuk membina ‘branding’ yang kuat dan kena ada kemahiran setting ads terutama Facebook dan Google Ads.
3. MERCHANT – SHOPEE, LAZADA & TIKTOK

Apabila munculkanya Shopee, Lazada dan Tiktok, hampir semua orang boleh berniaga dengan mudah. Persaingan berniaga semakin sengit.
Berlaku lah perang harga apabila pembekal dan pengilang sendiri turut menjual di merchant-merchant yang ada.
Pelanggan juga mudah untuk membuat pilihan produk dari hanya satu tempat sahaja dan mudah nak buat perbandingan harga.
Apabila pembekal dan pengilang sendiri menjual secara terus, maka sukarlah pemborong dan perniaga untuk survive.
Situasi ini juga menyebabkan banyak brand-brand besar yang dahulunya memanfaatkan konsep ejen dan dropship terpaksa menukar strategi dengan menjual secara terus. Persaingan harga membuatkan mereka tidak lagi mampu berkongsi harga dan keuntungan dengan ejen-ejen mereka.
Ditambah pula dengan ‘cas servis merchant’ yang semakin lama semakin tinggi. Keadaan menjadi semakin sukar.
Kita boleh lihat sekarang, banyak brand-brand yang dahulunya membuat jualan jutaan ringgit kini semakin terhimpit dan sudah banyak yang ‘gulung tikar’.
4. CHINA WHOLESALE
Dan apa yang menjadikan situasi bertambah sengit, apabila pengilang dari China sendiri boleh menjual terus kepada pelanggan di Malaysia menerusi merchant.
Bayangkan kalau dahulu pengilang dari Malaysia membeli bahan mentah dari China untuk mereka hasilkan produk di Malaysia. Tapi sekarang, pengilang China menjual terus kepada pelanggan di Malaysia dan menyebabkan pembekal dan pengilang dari Malaysia juga terkesan. Harga jualan menjadi semakin murah.
APA BOLEH KITA BUAT?
Dari apa yang berlaku, pada hemat saya ada 2 pilihan yang kita boleh pilih sekarang.
Pertama adalah dengan turut serta dalam medan pertempuran harga dan menjual produk dengan harga yang paling murah.
Pilihan kedua adalah kita fokus kepada menaikan ‘perceived value’ produk dengan menggunakan strategi ‘Branding.’
Saya pilih pilihan yang kedua. Kita tak mampu nak bersaing dari segi harga. Sebab kita nak jaga kualiti produk kita. Kita nak pelanggan gembira dengan produk kita. Anak-anak selesa memakai tudung dan baju sekolah kita. Kita nak berniaga untuk jangkamasa lama. Kita bukan perniagaan jenis ‘hit and run’.
Kita di HQ TudungSiComel sentiasa berusaha mencari cara agar Rakan-rakan Usahawan (ejen) akan dapat terus kekal menjana pendapatan yang baik menerusi TudungSiComel. In shaa Allah
KESIMPULAN
Jadi begitulah serba sedikit pemerhatian saya berkaitan Market Shift yang berlaku semenjak tahun 2007. Dan ini bukanlah pengakhiran. Ianya akan terus berubah dan kita tak tahu apa lagi yang akan berlaku di masa hadapan.
Cuma yang penting kita kena cepat-cepat sesuaikan dengan situasi dan keadaan semasa. Siapa yang gagal sesuaikan, mengikut apa yang boleh kita lihat, dia akan menjadi ‘sejarah’.
Banyak syarikat-syarikat besar juga gagal sesuaikan dengan perubahan semasa contohnya Nokia dan Kodak, dan mereka kini menjadi kenangan kita.
Sebagai ejen, kita juga perlu cepat-cepat berubah. Perlu sentiasa tambah ilmu supaya kita boleh survive dalam keadaan semasa. Mungkin satu masa dahulu kita hebat menjual di Facebook , tapi sekarang mungkin kita perlu lebih cepat ‘membaca’ lanskap pasaran semasa dan ambil tindakan yang segera.
“Markets never wait for anyone. Those who adapt survive; those who don’t become history.”
Wallahu a`lam

Terima kasih atas perkongsian artikel yang baik serta padat dengan informasi.
Semoga TSC terus maju jaya Dan sukses dalam menerajui pasaran Tudung sekolah.
Sama-sama tuan 😀
saya mula belajar berniaga di facebook. masa ni bg saya cukup best meniaga di facebook walaupun sebagai dropship. sebab persaingan xramai lagi dan kita boleh pegang harga. yang paling best if dapat supplier yg bg harga murah n service tiptop
Alhamdulillah 😀